Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Monday, November 09, 2009

Berhijrah bukan kecewa - Engku Emran


Esok, hari baru buat bekas Ketua Pegawai Operasi, Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 34, apabila beliau dengan rasminya memikul tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) saluran berita, Bernama TV.
Engku Emran saya anggap antara boss stesen penyiaran yang agak popular selepas CEO TV3, Datuk Seri Farid Ridzuan (TV3).

Bukan sahaja popular kerana beristerikan pelakon Erra Fazira sebaliknya hubungan Engku Emran dengan pihak media juga rapat dalam usaha mencari pengaruh mempopularkan stesen radio itu.

Bagaimanapun sepanjang tiga tahun meneraju Suria FM, Engku Emran tidak dapat lari daripada berhadapan dengan pelbagai ujian dan tohmahan. Pada saat-saat akhir perkhidmatan beliau dengan stesen radio itu, tersebar e-mel layang yang cuba memburukkan kerjayanya.

Malah dia juga sedih apabila timbul isu kononnya penghijrahan beliau ke Bernama TV disebabkan prestasi Suria FM merudum.


“Selama tiga tahun bersama Suria FM, banyak benda yang telah saya korbankan,” kata Emran. Ketika berbicara dengannya sesekali Emran kelihatan sedih apabila bercakap soal pengorbanan untuk mengangkat imej stesen radio itu.

“Ramadan lalu isteri saya bertanya, ada atau tidak masa untuk berbuka puasa bersama? Saya cakap terpaksa berbuka di luar sebab kena turun padang promosi Suria FM di bazar Ramadan,” katanya yang kelihatan sebak.

Kata-kata itu menunjukkan betapa selama ini Emran banyak berkorban masa dan tenaga untuk menaikkan imej stesen berkenaan. Adakah beliau sebenarnya kecewa lalu membuat keputusan meninggalkan stesen itu?

Ikuti luahan Engku Emran yang saya temui Khamis lalu, sehari sebelum beliau menamatkan tugasnya di stesen berkenaan.

Nama Engku Emran popular kerana berkahwin dengan Erra Fazira. Tetapi tidak ramai yang tahu siapa Emran dalam bidang penyiaran ini.

Sebelum di Suria FM, saya sudah lama berkecimpung dalam bidang penyiaran. Sebelum ini saya dengan THR (Time Highway Radio) sebagai Pengurus Besar. Kemudian saya sertai saluran Channel 9 sebagai COO dan akhirnya di Suria FM. Kalau dihitung, sudah lapan tahun dalam dunia penyiaran. Yang penting masa di THR, saya belajar banyak benda. Dari segi teknikal, pemasaran, pengurusan rancangan, boleh dikatakan saya tahu. Boss saya masa itu bagi nasihat, kalau nak kerja dunia penyiaran kena tahu serba-serbi supaya orang tak boleh tipu. Dari situlah bermulanya kerjaya saya.

Selepas ditawarkan jawatan COO di Suria FM apakah misi Emran pada waktu itu?

Masa tu saya bagi tahu diri saya sendiri. Kalau nak tengok Suria FM jadi bagus, kita kena sasarkan Suria FM untuk jadi stesen nombor satu. Harapan itu juga yang diinginkan ahli lembaga pengarah. Saya lihat Suria FM tak macam stesen lain yang ada platform untuk popular dengan mudah. Sebagai contoh Radio Era ada saluran TV Astro. Hot FM ada stesen TV dan akhbar mereka sendiri. Tapi itu semua bukan alasan untuk Suria FM tidak boleh berjaya. Sebab itulah kita kena lakukan sesuatu supaya suatu hari nanti orang akan percaya dengan kita.

Bagaimana Engku Emran menaikkan populariti Suria FM menjadi stesen yang dikenali pada hari ini?

Mula ke udara Suria FM hanya boleh didengar di Lembah Kelang dan Kota Kinabalu sahaja. Lepas tu siaran diperluas ke seluruh Semenanjung. Pendengar pada tahun 2007 hanyalah 300,000 orang tetapi ia meningkat setiap tahun sehingga menjadikan jumlah pendengar 700,000 sekarang ini. Malah tahun ini naik kepada 21 peratus. Ia pencapaian yang baik.

Sepanjang tempoh tiga tahun menjadi COO di Suria FM, apa kejayaan yang telah Engku buat? Mungkin orang tak nampak.

Pencapaian yang amat membanggakan apabila penjualan hasil iklan naik. Tahun ini meningkat kepada 87 peratus. Bagi saya ia satu jumlah yang membanggakan dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik. Ketika semua stesen radio berlumba-lumba untuk bersaing, Suria FM juga perlu melakukan sesuatu untuk kembangkan pengaruh. Salah satunya saya perkenalkan banyak aktiviti luar. Contohnya acara lelongan, buka gerai di bazar Ramadan, perkenalkan deejay dengan orang luar dan pelbagai lagi aktiviti. Acara seperti ini untuk naikkan imej Suria FM. Malah saya juga turut turun padang dan tidak sekadar bagi arahan semata-mata.

Bila agaknya tempoh sukar bagi Engku Emran?

Saya pesan kepada semua deejay saya, kalau kita nak bersaing kita kena kerja kuat kerana pesaing-pesaing kita sudah mendahului kita lebih awal. Kalau tidak kita akan ketinggalan. Sebab itu saya adakan siri jelajah, bazar Ramadan dan sebagainya. Tapi keputusan itu pun mungkin ada yang tak selesa. Sebenarnya bukan senang nak gembirakan hati orang.

Bagaimana reaksi Engku sendiri apabila membuat keputusan meninggalkan Suria FM?

Ia agak berat bagi saya tapi dalam hidup kita mesti berhijrah. Saya pun fikir untuk masa depan saya juga. Bukan mudah nak buat keputusan yang akan tentukan hala tuju kita. Tapi ini semua adalah cabaran baru saya. Saya ambil peluang untuk berhijrah dengan pemikiran yang waras. Bukan kerana saya kecewa di Suria FM.

Malangnya sebelum melangkah keluar, timbul macam-macam cerita buruk. Apa komen Engku?

Cerita buruk, tuduhan dan fitnah itu berlaku di mana-mana tempat kita bekerja. Cuma saya bekerja dalam dunia hiburan, tentulah ia akan mendapat perhatian. Saya anggap ini semua asam garam dalam pekerjaan kerana setiap yang berlaku itu kita tak boleh halang. Jika kita terlalu risau, kita akan jadi penakut. Bagi saya apa yang berlaku ini pengalaman berguna kerana saya dapat lihat skop yang lebih luas. Cabaran ini membuatkan saya menjadi lebih tabah dan waras.

Tak rasa kecewa?

Tak dinafikan perasaan itu memang ada tapi saya yakin suatu hari nanti orang akan tahu apa yang saya lakukan adalah untuk kebaikan syarikat. Setiap keputusan yang selama ni saya buat adalah hasil persetujuan dengan ketua-ketua jabatan yang lain. Bukan keputusan saya seorang.

Bagaimana dengan tugas baru di Bernama TV?

Kerjanya lebih kurang sama dengan jawatan di Suria FM. Saya perlu melapor kepada ahli lembaga pengarah. Tapi cabarannya besar. Setiap perubahan yang hendak dibuat ditempat baru nanti perlulah berdasarkan kepada kaji selidik yang dibuat. Keputusan tak boleh terburu-buru. Secara jujurnya saya seronok untuk melakukan sesuatu benda yang baru.

Bagaimana pula dengan Erra? Selama ini adakah dia turut terlibat terhadap pembangunan kerjaya Emran sendiri?

Beliau adalah penyokong nombor satu saya yang selalu beri semangat dan pandangan. Saya bertuah mendapat isteri yang macam itu. Dia selalu berada di sisi saya tatkala saya memerlukan seseorang untuk menilai pandangan dan pendapat saya.

Populariti Erra adakah turut mempengaruhi kejayaan Emran hari ini?

Sedikit sebanyak ia turut membantu. Dulu sebelum kahwin, Erra tanya saya larat ke nak hadapi macam-macam kontroversi? Saya kata kalau sesuatu yang kita nak, kita kena hadapi segala rintangan yang datang. Jadi saya dapat hadapi semua benda dengan sokongan dia. Saya letakkan, sesuatu tindakan hendaklah dilakukan dengan pemikiran yang waras. Tak boleh ikut emosi. Malah pihak atasan di Suria FM pun ada cakap kenapa tak ambil Erra jadi deejay untuk menaikkan populariti stesen? Saya cakap tak semestinya Erra jadi deejay dia akan berjaya walaupun dia hebat sebagai pelakon dan penyanyi.

- Utusan


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha