Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Tuesday, August 25, 2009

Tukang Kata Tak Tinggalkan Ahli Fiqir




Di pelancaran album terkini kumpulan hip-hop serantau paling terkenal, Ahli Fiqir baru-baru ini, bertempat di Hard Rock Café, Kuala Lumpur, ramai yang hadir terkejut kerana mereka terbit bertiga sahaja.

Hai, kurang seorang – mana Tukang Katanya? Tukang Kata ataupun Samsolnahar, emcee kedua di sisi Daly dikatakan mengundur diri buat sementara waktu kerana menghadapi “hal peribadi” yang perlu diuruskan di luar jadual kumpulan.

Menurut Daly, menjawab soalan pertama yang keluar daripada mulut media pada petang itu tentang kedudukan Tukang Kata: “Samsol di Singapura sekarang dan tak dapat untuk kembali bersama sehingga dia uruskan perkara itu. Dia ada isu peribadi untuk dia hadapi bersendirian. Kita pun tak boleh komen lebih sebab kita sendiri tak tahu sangat sampai sekarang.”


Seperti yang dipastikan sendiri oleh orang besar pihak pengurusan domestik Warner Music Malaysia Mokhtaza Ahmad, “masalah” tersebut tiada berkenaan dengan permit pekerjaan, imigresen atau sebagainya.

Ceritanya, album ‘Irama Berimah’ sepatutnya keluar pada penghujung tahun 2008 lagi; waktu yang sama timbul berita tentang Tukang Kata menemui anggota Ahli Fiqir yang lain. “Tapi kita teruskan juga bertiga”, kata Daly. Kelahiran seorang cahayamata buat anggota Ahli Fiqir terus menjadi perhatian utama pada waktu itu, dan kitar album tersebut tergendala sedikit lagi.

Kata orang juga, ‘aura live’ Ahli Fiqir seperti terganggu, agak lain dan janggal untuk peminat menerima di fasa awal ini.

“Tak rasa janggal sebenarnya. Tak rasa ganjil. Samsol akan pulang, sebaik sahaja keadaan mengizinkan. Kontrak kita pun dia tandatangan sama-sama dan kita ada satu album lagi untuk dipenuhi. Kita semua berdoa agar dia dapat bersama ketika itu,” tegas Daly. “Sementara ini, kita tetapkan iman, teruskan perjuangan.”

Tambah DJ Cza atau Ceza: “Harap-harap (Samsol) dapat kembali lagi”, dan Mawar Berduri: “Kita sentiasa menantikan dia.”

Sahabat Artis, ‘Baby’ Baru Ahli Fiqir Jadi Pedoman
Mawar Berduri, penyanyi jelita dan paling merdu kumpulan ini, masih dalam ‘mood’ domestik yang gembira membesarkan anak barunya bersama Daly.

Duet antara mereka berdua, “Janganlah Pergi Mawar”, sebuah balada daripada album terbaru, terlaung megah menandakan fokus baru pasangan bahagia ini di luar kehidupan sebagai artis hip-hop.

Di ‘showcase’ Hard Rock Café tempoh hari – persembahan pertama Ahli Fiqir dalam tempoh beberapa bulan ini dan antara yang pertama secara rasminya tanpa Tukang Kata – rakan-rakan artis seperti Yassin dan juga Art Fazil, rocker berpengalaman dari Singapura tampil dengan sokongan.

Pembabitan Yassin sekadar “balas budi” Ahli Fiqir apabila Daly digandingkan dengan beliau beberapa tahun lalu untuk ‘single’ hit Too Phat, “Alhamdulillah”. Kata Ceza: “Kami amat senang dengannya (Yassin).”

Yassin yang menyanyikan korus lagu “Fantasi” bersama Mawar ceria sahaja mengambil pentas bersama Ahli Fiqir, manakala Art yang diterbangkan khas dari London untuk memeriahkan majlis, mencucukkan gitar karan untuk membawa lagu “Fiqir Fiqir”, kesinambungan lagu asal Art, “Dikir Fikir”.

Ujar Daly dengan bangga, “Kita orang memang minat dia dari dulu, sebagai remaja membesar di Singapura – jadi memang sentimental.”

‘Rap Nusantara’ Terus Dijulang
Jelas kedengaran tambahan ekplorasi hip-hop intelek Ahli Fiqir, yang langsung dinobatkan sebagai “rap nusantara” selepas hit-hit mereka “Angguk-Angguk, Geleng-Geleng”, “Samseng” dan “Dia Datang” yang mudah disiul namun berani dan lain dari lain kandungannya. Album ketiga kumpulan ini sebahagiannya dihasilkan bersama Tukang Kata walaupun tidak dipaparkan di kulit depan album.

‘Irama Berimah’ walau hanya lima buah lagu panjangnya dan mengandungi beberapa “mesej baru” – “Seperti cinta sesama saudara,” kata Daly – namun ia masih setia dan berpucuk-pangkal dengan mesej-mesej asal lirik (“pakai akal” dan sebagainya) Ahli Fiqir semasa album ‘Hari Ini Dalam Sejarah’ (2005) dan ‘Rap Untuk Rakyat’ (2007).

“Derita Merindu” menunjukkan gelora cinta rumahtangga baru yang matang, bertanggungjawab dan berkeyakinan, sebuah lagi dimensi kepada bunyi karya Ahli Fiqir setelah hubungan suami-isteri Daly dan Mawar lebih erat semenjak dua menjak ini dengan kelahiran anak pertama lebih kurang sembilan bulan yang lepas.

Perkembangan empayar Ahli Fiqir di luar muzik jatuhnya ke Ceza yang asyik dengan karya senireka yang dipilih menjadi “karier sebenar suatu hari nanti” apabila tidak lagi membuat persembahan sebagai seorang ‘turntablist’.

“Saya tak begitu percaya kepada jenama pakaian. Lagipun saya lebih senang fokus kepada aspek seni daripada ‘business’,” terang Ceza, ahli paling muda yang pernah menuntut sijil Senireka Grafik di Kolej Bandar Utama. “Kita memang tiada rancangan untuk meluaskan empayar di luar muzik dan senireka buat masa sekarang. Dan saya OK dengan keadaan ini.”

*Album ketiga Ahli Fiqir, ‘Irama Berimah’, telahpun berada di pasaran mulai 20 Ogos lalu.

- Gua.com.my


1 comments:

bie said...

i know u quote this article from somewhere else, but it is inaccurate. mawar's husband is not daly. please get the facts verified before posting. tq.

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha