Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Tuesday, August 25, 2009

Kasih Shake pada Malaysia




Walaupun lagu berkenaan sudah berusia 25 tahun, namun bait-bait lirik luahan kasih sayang seorang anak terhadap ibunya bukan sahaja mencuri hati para pendengar malah ia menggambarkan betapa rapatnya penyanyi itu dengan ibunya.

Lagu ciptaan komposer tidak asing lagi, Datuk Dr. Ahmad Nawab yang diterbitkan pada tahun 1984 bukan sahaja telah menaikkan nama Shake malah ia juga kenangan manis Shake buat uminya.

Lalu tidak hairanlah pertama kali bertemu dengan Shake ketika pelancaran albumnya, bibirnya tidak lepas bercerita tentang isterinya, Datin Melina yang memberi sinar kebahagiaan dalam hidup dan kariernya.

Tidak ketinggalan, beliau juga tidak meminggirkan ibunya, Allahyarham Sharifah Zaleha yang menjadi sumber inspirasi dan kekuatan untuknya berjuang dalam seni.

Kini walaupun Sharifah Zaleha telah 23 tahun meninggal dunia, namun sebagai anak yang begitu rapat dengan ibunya, Shake tidak pernah lupa menziarahi pusaranya setiap kali balik ke Johor.

"Saya sampai di Malaysia sudah lebih seminggu. Tetapi sebelum datang ke Kuala Lumpur, saya singgah di Johor menziarah pusara arwah umi," cerita Shake pada satu pertemuan di hotel penginapannya di Kuala Lumpur awal minggu lalu.

Meskipun sudah lebih sedekad tidak bertemu dengan Shake yang kini menetap di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, namun sesuatu yang membanggakan ingatan ayah kepada empat orang anak dan datuk kepada lima orang cucu ini terhadap penulis masih tidak padam, sambil berkata;

"Masakan saya tidak kenal walaupun dah lama tak jumpa. Itulah indahnya orang Melayu, walaupun jauh di mata tetapi dekat di hati."

Gulai asam pedas

Begitulah Shake. Biarpun sudah merantau 36 tahun ke luar negara, namun kasih sayangnya pada adab sopan Melayu dan bahasa Melayu tidak pernah luntur di hatinya.

Bagi Shake, walau ke mana dia pergi, biar setinggi mana namanya disanjung dalam dunia seni di luar negara, namun akar umbinya tetapi di bumi Malaysia yang sentiasa dekat di hatinya.

"Saya tidak pernah malu mengaku saya orang Melayu. Setiap kali mengadakan persembahan saya akan memperkenalkan diri saya dan negara saya Malaysia.

"Malah, saya tidak pernah lupa adab sopan orang Melayu. Setiap kali berjumpa dengan mereka di luar negara, saya tidak bercakap dalam bahasa Inggeris atau Perancis, tapi berbahasa Melayu.

"Bagi saya, bahasa Melayu adalah bahasa paling indah di dunia. Kini berpegang kepada perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, setiap kali show saya akan menekankan 1Malaysia yang diimpikan," cerita Shake penuh bangga.

Mengenali Shake dan berbicara dengannya nyatalah, 36 tahun 'memisahkannya' dari bumi Malaysia namun bahasa Melayunya tetap indah.

Berbual bersamanya, tidak kira sejam, dua jam atau tiga jam sekalipun, penyanyi yang mendapat jolokan The Singing Ambassador ini tetap fasih dan indah bahasa Melayunya.

"Saya orang Melayu dan gulai asam pedas sentiasa menjadi pembuka selera saya walaupun saya di Perancis ataupun di LA.

"Kalau terlalu rindu dengan masakan itu, saya masak sendiri," katanya sambil memberi petua kepada penulis (yang ketika itu mengidap batuk) bagaimana mahu meredakannya iaitu baca tiga kali selawat sebelum meminum air suam bercampur madu.

Bersandarkan rasa cintanya pada Malaysia dan jati dirinya yang tidak pernah lekang, Shake kembali ke Malaysia untuk menghiburkan para peminatnya yang pernah dan sentiasa menyokongnya.

"Sebenarnya sepanjang minggu ini (minggu lalu), sudah beberapa kali saya bermesyuarat dengan pihak Istana Budaya (IB). Jika semuanya selesai saya akan kembali semula ke LA.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan mengadakan konsert solo saya di IB tahun depan. Sebenarnya sudah empat tahun saya merancang tentang konsert ini, tapi ketika itu terlalu banyak 'undang-undangnya'.

"Namun tahun depan, apabila album Melayu saya telah siap dan buku mengenai saya lengkap, saya akan melancarkannya di IB dan mengumumkan mengenai konsert itu," kata Shake mengenai perancangannya pada tahun 2010.

Album lagu-lagu Melayu Shake yang kini dalam proses rakaman di LA selain menampilkan lagu-lagu baru turut mengabadikan Umi dan Gadisku.

Dua buah lagu tersebut yang diberi nafas baru diharap dapat mengembalikan nostalgia para peminat Shake.

Apabila ditanya apakah konsertnya itu dapat menarik perhatian dan minat, orang ramai menontonnya, Shake penuh optimis ramai yang akan memberi sokongan padanya.

Bahkan, sebagai penghibur yang berpengalaman luas, seniman itu tidak gemar untuk mengambil kira pandangan negatif sedemikian rupa.

Apa lagi, pandangan itu juga disifatkannya sebagai suatu yang lumrah di peringkat antarabangsa.

Shake yang penuh yakin, persembahannya kelak akan berjaya memberitahu, apa yang membuatkan dia yakin juga adalah kerana beliau sering mendapat sokongan daripada penggemar setianya yang berpusat di Paris atau LA.

"Mereka melahirkan rasa gembira dan bangga dan menyatakan tindakan saya mengadakan konsert di IB adalah satu idea yang bagus dan pentas bertaraf dunia itu adalah tempat yang sesuai untuk saya mengembalikan nostalgia mereka," katanya lagi.

Dalam konsert yang dijangka akan berlangsung selama beberapa hari itu, Shake dijangka akan menghiburkan para peminatnya dengan 25 buah lagu dalam pelbagai bahasa iaitu Melayu, Perancis dan Inggeris.

Shake juga merancang konsertnya itu nanti akan diiringi dengan orkestra yang menggabungkan para muzik Malaysia dan luar negara.

"Bukan saya tidak menghargai pemuzik tempatan, bagi saya mereka tetap bagus. Cuma saya mahu tampilkan kelainan dalam konsert itu nanti," akui Shake tatkala ditanya apa relevannya mengundang para pemuzik luar negara.

Shake yang jarang-jarang pulang ke Malaysia bagaimanapun tidak pernah terlepas daripada mengikuti perkembangan semasa industri hiburan tanah air.

Paling dikaguminya ialah bakat seni dan perjuangan Jamal Abdillah.

Meskipun tidak berpeluang menyaksikan konsertnya baru-baru ini, menerusi laporan media, Shake mendapat tahu konsert berkenaan begitu sukses.

"Bagi saya, Jamal adalah seorang penyanyi yang hebat dan suara lelakinya mampu memukau bukan sahaja peminat perempuan malah saya juga meminati suaranya. Susah kita nak dapat penyanyi sehebatnya.

"Bukan itu sahaja, malah saya turut mengagumi perjuangan dan kejayaan tiga beradik dalam dunia seni iaitu kumpulan KRU yang diterajui oleh Norman, Yusry dan Edry.

"Bakat dan suara Zainal Abidin juga jangan diketepikan kerana penyanyi itu mempunyai perjuangan seninya yang tersendiri melalui lagu-lagunya," luah Shake berkongsi rasa bangga mengenai kejayaan rakan-rakan artis tanah air.

Mengenai senario industri seni hari ini yang banyak melahirkan ramai penyanyi dari program realiti, Shake yang turut mengagumi Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khadijah Ibrahim menyifatkan, era masa kini merupakan masa terbaik untuk golongan remaja mencipta nama dalam bidang seni.

"Bagi saya ini adalah zaman yang sesuai untuk remaja hari ini mencipta nama dalam bidang seni. Saya yakin mereka mempunyai bakat tersendiri cuma kehadiran mereka dengan gaya dan stail masa kini.

"Sebagai orang lama dalam dunia seni, bagi saya kejayaan seseorang dalam bidang seni semuanya terletak pada tuah. Umur atau apa juga cara penampilan mereka tidak penting, insya-Allah jika sudah tuah mereka, mereka akan tetap berjaya," ujar beliau lagi.

Menyentuh mengenai kehidupannya bersama keluarga di LA, Shake yang baru muncul dengan album terbarunya Yesterday And Today berkata, melalui kehidupan di negara Uncle Sam itu sangat membahagiakannya.

"Isteri saya Melina, anak-anak Amiir, Amaro, Natacha dan Mina begitu bahagia di LA. Namun walaupun hidup di sana saya tetap menerapkan nilai budaya Melayu di hati mereka.

"Bagi saya itu amat penting kerana walau di mana saya berada mereka perlu tahu asal usul ayah mereka," katanya rancak menyambung cerita.

Menurut Shake, anak kembarnya yang kini berusia 27 tahun begitu berjaya dalam karier yang mereka minati.

"Amaro menjadi pengarah filem dan akan menerbitkan klip video lagu-lagu daripada album terbaru saya. Sementara Amiir berjaya sebagai pelakon dan penyanyi di LA," jelas Shake ralit berkongsi kisah pewaris seninya itu.

Sebelum perbualan berakhir, sengaja rasa hati Shake saya cuit.

Saya bertanya padanya antara Perancis dan Malaysia mana satu pilihan hatinya.

Jawapan Shake ialah: "Saya sayang Paris, tetapi saya tetap orang Melayu dan Malaysia adalah negara yang saya cintai."

- Utusan


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha