Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Monday, June 22, 2009

Perodua MPV D46T







Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) dijangka membuka tempahan jualan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang didakwanya termurah di Malaysia pada September depan.


Harga kenderaan tujuh penumpang itu dijanjikan serendah RM57,000 dan maksimum RM66,000 sebuah, akan diumumkan pada majlis pelancarannya iaitu sekitar minggu ketiga Oktober depan.

Harga yang ditawarkan itu adalah lebih rendah berbanding MPV Proton Exora keluaran Proton Holdings Bhd (Proton) yang dijual sekitar RM70,000 sebuah.

Berdasarkan perbandingan harga secara rambang tanpa mengambil kira kelebihan lain termasuk keupayaan enjin, MPV Perodua itu dikatakan menawarkan penjimatan harga berbanding dengan pesaingnya yang lain seperti Innova Toyota (RM90,000), Grand Livina (RM80,000) dan MPV Naza Citra (RM65,000).


Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar berkata, MPV dengan keupayaan enjin Daihatsu dan kekuatan 1.5 liter akan memberi kepuasan maksimum kepada para pelanggan yang mementingkan kualiti dan penjimatan minyak.

Katanya, sasaran pelanggannya adalah golongan eksekutif yang sudah lama mengguna kenderaan Proton seperti Proton Waja dan Iswara selain golongan yang memiliki keluarga besar.

Beliau berkata, keunikan MPV Perodua adalah terletak pada saiznya yang kompak di dalam kategori MPV dan ringan dengan anggaran 1.1 tan metrik.

''Kami menyasarkan pengeluaran MPV berkenaan sebanyak 2,000 hingga 3,000 buah setiap bulan untuk memenuhi jangkaan permintaan yang tinggi di pasaran,'' katanya pada majlis Cabaran Eko Perodua di sini hari ini.

Sebanyak 12 pasukan institusi pengajian tinggi awam mengambil bahagian dalam cabaran tersebut.

Menerusi cabaran berkenaan, setiap pasukan dibekalkan sebuah Perodua Myvi dan masing-masing dikehendaki melakukan pengubahsuaian bagi menghasilkan penjimatan minyak.

Perodua turut memberi geran RM10,000 bagi setiap pasukan bagi membangunkan kajian dan penyelidikan masing-masing.

Ketika ditanya mengenai perancangan Perodua selepas ini, Syed Abdul Hafiz menjangkakan Perodua akan mengeluarkan kenderaan baru pada 2011.

Katanya, dalam tempoh beberapa tahun ke depan, lebih banyak kenderaan yang menarik dan berkualiti akan dikeluarkan oleh Perodua.

''Kami mahu mengekalkan syarikat pengeluar kenderaan nasional nombor satu di Malaysia bukan sahaja untuk tempoh tiga tahun berturut-turut, sebaliknya kekal selama-lamanya,'' ujarnya.

Mengenai prestasi sektor automotif negara, Syed Abdul Hafiz berkata, Malaysia antara negara terbaik dan paling minimum menerima impak daripada kegawatan ekonomi.

Katanya, ketika Amerika Syarikat, Eropah dan beberapa negara maju lain sedang berhempas pulas memulihkan industri automotif mereka yang mengalami kemerosotan sebanyak 20 hingga 30 peratus, Malaysia hanya menyaksikan kemerosotan sebanyak 12 peratus sahaja.

"Kita patut berbangga kerana tidak terjejas teruk sedangkan Malaysia tergolong antara pengeluar kenderaan terbesar di Asia,'' katanya.

- UTUSAN


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha