Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Friday, September 18, 2009

Syahdu lebaran Rabbani tanpa Asri




PAGI itu cukup damai dan tenang sekali. Kelihatan beberapa orang sibuk membersihkan pusara ahli keluarga yang terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi.

Sesekali angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi kedinginan pagi yang cerah itu.

Di satu sudut, lapan lelaki berpakaian baju Melayu sedondon berwarna hijau serindit sedang duduk bersila di tepi pusara sambil membaca surah Yasin dan berzikir.

Sayu sungguh bacaan mereka. Sesekali mereka menyeka air mata apabila melihat kubur yang masih lagi merah tanahnya itu.

Pemilik pusara itu telah menemui Sang Pencipta pada 13 Ogos lalu dan sememangnya telah meninggalkan impak yang bukan sedikit kepada mereka yang duduk mengelilingi kubur itu.

Pada mereka, insan yang bernama Allahyarham Asri Ibrahim bukan sekadar seorang ketua kumpulan, sebaliknya peranannya lebih daripada itu.

Insan yang disanjung tinggi itu dianggap sebagai seorang sahabat, abang dan teman yang sentiasa mendampingi mereka serta berada di sisi tidak kira waktu.

“Lain benar rasanya sambutan Syawal untuk kami kali ini. Kami benar-benar terasa kehilangannya dan apa yang pasti, kami tidak akan dapat lagi menikmati hari-hari indah pada pagi Syawal seperti mana tahun-tahun sebelum ini,” demikian luahan Azadan Abdul Aziz dalam nada sayu.

Dia dan anggota kumpulan Rabbani yang lain ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Allahyarham Asri meninggal dunia akibat sakit jantung dan meninggalkan seorang balu, Haliza Shahadan, 38, serta enam anak iaitu Mohd. Nasimudin, 15; Mohd. Fathi, 14; Nur Afikah, 12; Mohd. Ilham, 10; Sufiyah Munawarh, 6 dan Hamdi Rabbani, 4.

Selain Azadan, Rabbani turut dianggotai oleh Asri Ubai, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Menyambung bicara, sebagai seorang yang cukup rapat dengan Allahyarham, hatinya benar-benar sayu dan syahdu setiap kali terkenangkan Allahyarham.

Setiap kali itu juga, air matanya akan mengalir. Ia jelas membuktikan pemergian Allahyarham benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam.

Azadan turut berkongsi cerita bagaimana terujanya Allahyarham membuat persiapan menjelang Syawal tahun ini.

“Semuanya mahu dilakukannya dengan segera. Baik tempahan baju raya mahupun sesi fotografi untuk kad hari raya kami.

“Katanya, kalau hari lain nanti tidak sempat untuk menyiapkan semua kerja. Bukan itu sahaja, dia juga menyelesaikan segala kerja-kerjanya dengan lengkap.

“Katanya, apa yang ditinggalkan olehnya nanti adalah untuk kemudahan semua pihak,” ujar Azadan yang juga Pengurus Komunikasi Korporat dan Acara Rabbani Productions (M) Sdn. Bhd.

Malah, baju Melayu yang dipakai tempoh hari juga kata Azadan, merupakan pilihan Allahyarham sendiri baik dari segi warna mahupun rekaannya.

Tetapi, entah bagaimana ukuran baju untuk Allahyarham tidak sempat diambil kerana dia perlu bergegas ke rakaman program di TV3 ketika itu.

“Oleh itu, hanya baju kami sahaja yang sempat disiapkan dan ia benar-benar membuatkan kami tersentuh.

“Banyak sungguh petanda yang diberikan sebelum pemergiannya sehingga membuatkan kami sendiri tidak menyedarinya,” katanya sambil membelek baju Melayu rekaan Dzull de Classique itu.

Diajak berbicara kenangan raya bersama Allahyarham, sekali lagi air mata Azadan gugur ke bumi sambil ditenangkan oleh rakan-rakannya yang lain.

Tidak terbendung kesedihan Azadan dan rakan-rakan yang lain saat mengenangkan memori tercipta antara mereka bersama Allahyarham.

Kata Azadan, sepanjang enam tahun kebelakangan ini Rabbani menyambut pagi Syawal di ibu negara memandangkan mereka perlu memenuhi undangan nyanyian.

Hanya selepas itu, barulah mereka akan pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Memang banyak kenangan bersama Allahyarham di pagi Syawal. Saban tahun, rutin pertama kami adalah berkumpul di Rabbani Productions untuk menukar baju baru yang ditempah.

“Kemudian, kami akan bermaaf-maafan sebelum menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur.

“Kalau pasal makanan pula, Allahyarham memang tidak cerewet kerana apa yang penting padanya adalah masakan itu mampu membangkitkan seleranya,” katanya lagi.

Cuma beberapa hari sebelum menghembuskan nafasnya terakhir, Azadan menjelaskan, selera makan Allahyarham mula berubah.

Satu yang pasti, anggota Rabbani masih ingat nasihat Allahyarham iaitu membaca surah Yasin setiap kali selepas solat Subuh.

“Kerana itu, kami tetap akan meneruskan perjuangan Rabbani sampai bila-bila kerana Allahyarham mahu melihat kami bersatu dan meneruskan apa yang telah ditinggalkannya.

“Kini, tugas kami untuk menyambung legasi seni kami dalam berdakwah demi peminat yang tidak pernah henti menyokong kami sejak dulu lagi,” ujar Azadan yang masih lagi menyimpan nombor telefon Allahyarham dalam telefon bimbitnya.

Bukan itu sahaja, rezeki untuk Rabbani juga terus mencurah-curah biarpun Allahyarham Asri sudah tiada lagi.

Malah sepanjang bulan Ramadan lalu selain daripada persembahan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya, Selangor, Rabbani juga sempat memenuhi undangan lain terutama majlis tahlil bagi memperingati Allahyarham.

Rabbani mempunyai alasan tersendiri untuk menziarahi pusara Allahyarham sebelum menjelangnya Syawal.

Ini kerana kata Azadan, mereka berada di Dubai kerana terlibat dengan festival nasyid bermula sehari sebelum Syawal sehingga 25 September ini.

Festival nasyid berkenaan merupakan anjuran kerajaan Dubai dan jemputan pula adalah menerusi salah seorang pelajar yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Jemputan itu sememangnya membuatkan Rabbani terharu kerana biarpun pihak penganjur mengetahui Allahyarham Asri sudah tiada lagi, mereka tetap berminat untuk menjemput mereka mengadakan persembahan.

“Semuanya ada hikmah dan jelas terbukti, Rabbani masih lagi diterima selepas ketiadaan Allahyarham.

“Ia sekali gus membangkitkan semangat untuk meneruskan perjuangan kami,” katanya sambil dipersetujui oleh rakan-rakan Rabbani yang lain.

-Utusan


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha