Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Friday, September 04, 2009

Lagu 1Malaysia ciptaan Kid



RAMAI peminat mengenali Kid sebagai bekas gitaris kumpulan Gersang dan nama beliau cukup sinonim dalam persada muzik rock tanah air sejak lebih 20 tahun yang lalu.

Nama Kid juga semakin dikenali ramai apabila dia menganggotai kumpulan rock legenda tempatan, Search dan dibariskan sebagai antara 10 gitaris yang terbaik di negara ini.

Kid atau nama sebenarnya Hamzah Mohd. Taib, bukan setakat tertumpu kepada genre rock, tetapi beliau juga sentiasa cuba mengembangkannya dalam skop yang lebih luas.

Pendekatan gitaris berusia 43 tahun itu dapat dilihat apabila dia tampil dengan sebuah lagu terbaru ciptaannya berjudul The Soul of One Malaysia yang berkonsepkan instrumental.

Menurut bapa kepada dua anak ini, lagu itu bukan berkonsepkan rock, sebaliknya ia merupakan sebuah lagu patriotik bertemakan gagasan 1Malaysia untuk segenap lapisan masyarakat.

"Lagu The Soul of One Malaysia bukannya berkonsepkan rock ataupun untuk peminat muzik rock, tetapi ia adalah sebuah lagu yang saya tujukan khusus untuk semua rakyat Malaysia.

"Ia merupakan sebuah lagu patriotik yang membawa aspirasi masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Konsep muziknya ringkas dan ia bukannya lagu rock.

"Ia juga sebagai menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak yang mencetuskan gagasan 1Malaysia," katanya kepada Hits pada satu pertemuan, baru-baru ini.

Pada pertemuan di restoran miliknya, Bangi Kopitiam di Bangi, Selangor itu, Kid turut mengadakan majlis berbuka puasa untuk rakan-rakannya dan wakil-wakil media massa.

Jelas Kid, cetusan idea untuk menghasilkan lagu instrumental The Soul of One Malaysia beserta klip videonya itu mula timbul tiga tahun lalu sewaktu Bangi Kopitiam ditubuhkan.

"Kebetulan Bangi Kopitiam juga berkonsepkan muhibah antara kaum di negara ini dan perkara itu dapat dilihat daripada segi menu-menu yang disediakan dalam restoran ini.

"Ia merupakan antara makanan kegemaran rakyat Malaysia contohnya roti bakar, nasi lemak dan nasi ayam. Secara tidak langsung, penciptaan lagu itu bersesuaian dengan tema Bangi Kopitiam.

"Setakat ini, saya belum lagi mempunyai perancangan terperinci untuk lagu itu walaupun ia sudah diperdengarkan di restoran saya ini. Saya akan fikirkan selepas ini nanti," jelasnya.

The Soul of One Malaysia yang mempunyai durasi kira-kira 4 minit dirakamkan dalam bentuk klip video yang berlatar belakangkan lokasi seperti di Pasar Seni dan Jalan Petaling di Kuala Lumpur.

Menerusi klip video itu, Kid tampil dengan gitar kapoknya menelusuri jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur dalam usahanya untuk mendekati masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa.

Suasana yang cukup harmoni itu jelas menggambarkan bahawa muzik mampu merentasi sempadan bangsa dan agama jika konsepnya mampu dihayati oleh semua pihak.

Pada majlis itu, Kid yang ditemani isterinya, Noraznin Yusof, 42, dua anaknya, Fasdeanda, 15, dan Haqil Naquidean, 5, optimis lagu ciptaannya itu mampu diterima oleh rakyat Malaysia.

"Kalau sambutannya baik saya berharap agar ada pihak-pihak tertentu yang berminat untuk mengetengahkan lagi lagu itu dalam skop yang lebih luas pada masa depan.

"Malah, ia juga sebagai suatu permulaan buat saya untuk menghasilkan album atau lagu-lagu instrumental selepas ini nanti. Saya harap semua pihak menyokong usaha saya ini.

"Kalaulah lagu ini mampu diminati ramai sebagai salah satu lagu patriotik untuk rakyat Malaysia, maka saya anggap itu adalah antara kejayaan besar saya dalam bidang seni," katanya.

Selain di Bangi, tambah Kid, Bangi Kopitiam juga mempunyai cawangan atau francais di Shah Alam, Wangsa Maju, Port Dickson, Melawati, Sungai Buloh, Rawang dan Nilai.

-Utusan


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha