Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Wednesday, September 02, 2009

Flop Poppy terus terbang tinggi




KALAU ada yang mengatakan Flop Poppy sudah berkubur hanya kerana tiada sebarang perkhabaran terbaru tentang mereka, ternyata tanggapan itu silap.

Diam mereka bukan diam sembarangan sebaliknya sepanjang empat tahun 'kehilangan' kumpulan ini, mereka berusaha mencari material terbaru untuk album kelima mereka, Rasa.

Kali ini, muzik yang mereka tampilkan cukup berbeza dengan apa yang telah mereka lakukan sebelum ini.

Santai dan relaks - itulah gambaran mereka terhadap album mereka yang diedarkan oleh Warner Music Malaysia dalam waktu terdekat ini.

Namun, dalam masa yang sama sentuhan Flop Poppy itu masih lagi dikekalkan kerana mereka juga tidak mahu peminat akan berasa janggal dengan perubahan muzik yang mereka bawakan.

Saat bertemu dengan Flop Poppy di Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka sememangnya teruja menantikan album terbaru mereka selepas kali terakhir muncul dengan album Cendera Jiwa pada tahun 2005.

Apatah lagi, album Rasa merupakan album pertama di bawah label mereka sendiri iaitu Floppy Records yang berjaya menterjemahkan luahan serta isi hati terhadap perjuangan muzik mereka.

Jelas Andy selaku vokalis dan ketua kumpulan, selama hampir empat tahun mereka sama-sama mengumpul idea dan material untuk menghasilkan nuansa baru untuk album mereka.

Dalam masa yang sama, mereka perlu menunggu sehingga kontrak bersama syarikat rakaman, NSR benar-benar tamat kerana kalau boleh, mereka tidak mahu berhutang dengan sesiapa.

Kini, mereka kembali dan bebas mewarnakan karya-karya mereka mengikut kehendak sendiri memandangkan Flop Poppy kini sudah berdikari tanpa perlu mengikut telunjuk sesiapa.

Perjuangan dan falsafah hidup yang dipegang lebih sedekad yang lalu juga merupakan kekuatan Flop Poppy yang mampu bertahan sehingga kini dan seterusnya meletakkan mereka sebagai kumpulan muzik yang disegani.

kelainan

"Perubahan yang kami lakukan ini adalah semata-mata mahu memberikan satu kelainan dan variasi untuk industri.

"Kalau kami tampil dengan sebuah karya yang muziknya kedengaran hampir sama seperti mana lagu-lagu yang sedia ada, ia akan menjadi bosan.

"Kami juga optimis bahawa album kali ini akan mampu menepati cita rasa peminat setia kami dan juga pendengar serta pencinta muzik tempatan," jelas Andy membuka bicaranya pada lewat petang itu.

Selain Andy, Flop Poppy turut dianggotai oleh Megat Asraf Nazree Mazlan atau Megat selaku pemain gitar kedua, Azhar Abd. Ghani (Cha'a-gitar utama), Aznizam Johari (Ejam-bass) dan Hasmi Nasaruddin (Mie Apache-drum).

Rasa memuatkan 12 buah lagu iaitu Kasih Nafas Diri yang merupakan single pertama dari album ini selain daripada lagu-lagu seperti Dendang Remaja, Impian Di Ibu Kota, Semua Untukmu, Tawan, Lafaz Cinta dan Mungkinkah.

Malah, album ini juga memuatkan sebuah lagu Inggeris berjudul Dedicated To You.

Lebih menarik lagi, lagu Kasih Nafas Diri merupakan lirik nukilan terakhir Allahyarham Rosli Khamis atau nama penanya, Loloq untuk kumpulan itu.

"Arwah memang memandang tinggi perjuangan muzik kami dan selalu memberi kata-kata perangsang buat kami.

"Dia mahu melihat kami pergi jauh dan berjalan tanpa henti biarpun rintangan mendatangi kami. Bertuah sungguh rasanya apabila dapat memuatkan karyanya untuk album ini," tutur Andy sambil memberitahu lagu berkenaan pada asalnya adalah untuk kumpulan Coco.

Menyambung bicara, asas muzik dalam album Rasa adalah pop dan rock namun ada sesetengah lagu yang turut disuntik dengan elemen blues dan folk.

Sekadar menyingkap sejarah, Flop Poppy lebih dikenali sebagai kumpulan muzik underground atau istilah terkini, indie.

Mereka terlebih dahulu tampil dengan album Inggeris sepenuhnya yang juga album pertama mereka yang diberi judul A Decade Ago pada penghujung tahun 1990-an.

Menyedari industri muzik yang berkembang pesat ketika itu, mereka tampil dengan album kedua, Flop Poppy pada tahun 2001 yang memuatkan lagu-lagu hits seperti Cinta, Masih serta Aku dan Kamu.

Ternyata lagu-lagu tersebut telah melonjakkan nama Flop Poppy dan daripada situ mereka terus menghasilkan dua buah album lagi bersama NSR iaitu Say La Vie (2004) dan Cendera Jiwa (2005).

Saat ditanya kepada Andy tentang kelahiran album ini di kala ramai yang mengambil keputusan untuk tidak menerbitkan sebarang album sebaliknya hanya fokus kepada single, dia hanya mampu tersenyum.

Katanya, Flop Poppy masih lagi mahu meneruskan tradisi menerbitkan album biarpun ramai yang tidak berani menanggung risiko itu.

"Apa pun yang terjadi, kami akan tetap menghasilkan album kerana kami mahu melihat produk kami itu dirasa dan dipegang serta dilihat di depan mata oleh peminat yang menghargai muzik kami.

pasaran antarabangsa

"Menerusi album Rasa juga banyak perancangan yang sudah kami aturkan dan salah satunya adalah untuk menembusi pasaran antarabangsa terutamanya Asia Tenggara menerusi Floppy Records," ujarnya penuh optimis.

Bukan mahu mendabik dada, Andy atau nama sebenarnya Megat Effendy Zakaria ini mahu melakukan sesuatu untuk industri tempatan tanah air.

Tujuan utama penubuhan Floppy Records adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat di luar sana baik yang baru hendak menapak menjadi penyanyi mahupun mereka yang sudah mempunyai nama.

"Ini adalah salah satu sumbangan kami untuk terus merancakkan industri hiburan tanah air. Kita lihat sekarang ini dengan lambakan program realiti ia sedikit sebanyak merencatkan semangat kami yang benar-benar mahu menjadi penyanyi serba-boleh.

"Kalau mahu menjadi artis di bawah naungan kami, mereka harus membuktikan mereka benar-benar bagus dan berkualiti serta bersedia melakukan segala-galanya atas usaha sendiri," kata bapa kepada lima orang anak ini dalam nada tegas.

Dia mengambil keputusan berbuat demikian setelah melihat industri hiburan masa kini yang dibanjiri oleh artis luar negara.

Sedangkan, tiada tindakan yang diambil oleh mana-mana pihak untuk cuba memasarkan serta menonjolkan bakat anak tempatan ke negara luar.

Sehingga kini, Floppy Records yang mula ditubuhkan sejak dua tahun lalu itu telah menubuhkan cawangan mereka di Singapura, Bandung, Indonesia dan seterusnya di Thailand dan Filipina.

Malah, Floppy Records di Singapura juga telah berjaya menemui tiga penyanyi solo dan sebuah kumpulan yang bakal muncul dengan album mini masing-masing tidak lama lagi.

"Kami bukan mahu menjadi label tetapi sebagai satu medan dan platform untuk artis-artis yang benar-benar memiliki semangat kental serta jiwa sebagai anak seni.

"Bukan yang hanya tahu menyanyi sahaja, tetapi kelebihan itu juga akan diberikan kepada mereka yang tahu dan pandai mencipta lagu serta lirik.

"Memang banyak yang kami mahu lakukan menerusi Floppy Records," tuturnya yang membuka peluang itu kepada semua lapisan masyarakat dengan apa jua genre muzik yang mahu dibawakan.

Sementara itu, Andy turut berkongsi pengalaman sewaktu mereka membuat persembahan amal di Sydney, Australia pada bulan Julai lalu.

Kehadiran mereka adalah atas undangan badan pertubuhan pelajar Malaysia di sana sempena dengan sebuah festival muzik yang menyaksikan kehadiran penonton dari seluruh Australia dan juga Kanada.

Biarpun mereka mengalunkan lagu di dalam bahasa ibunda, kata Andy, ia bukan satu halangan buat masyarakat di sana untuk menikmati muzik yang telah memberikan mereka kepuasan.

"Kami telah mempersembahkan 15 buah lagu dan ada di antaranya lagu yang jarang kami sampaikan. Apa yang buat kami terkejut apabila melihat mereka menyanyikan lagu-lagu tersebut bersama kami.

"Mungkin mereka tahu muzik kami daripada Internet dan pelajar-pelajar kita yang berada di sana. Kami juga sempat menjual album Rasa di sana dan 50 pembelinya merupakan yang pertama memiliki album kami itu," kata Andy gembira.

-Utusan


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha