Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Monday, August 10, 2009

Tetamu kecil Suria FM




SEJAK memulakan operasi penyiaran lima tahun lalu, inilah kali pertama Suria FM bersiaran bersama tetamu paling kecil, Engku Aleesya Engku Emran yang merupakan anak kepada pelakon popular, Erra Fazira dan juga Ketua Pegawai Operasi stesen berkenaan, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Minggu lalu, memasuki konti Suria FM seawal pukul 7.30 pagi, Ungku Aleesya yang masih lena dalam dakapan ibunya memenuhi undangan bersiaran bersama krew Breakfast@Suria, Tuah dan Zizi.

Sepanjang 90 minit bersiaran, pelbagai topik serta pertanyaan dilayangkan oleh penyampai mahupun pendengar Suria FM sendiri kepada kedua-dua tetamu istimewa itu. Hampir kesemua soalan yang diajukan menjurus kepada si comel itu.

Pelbagai gelagat serta aksi bersahaja si comel itu dipertontonkan secara langsung di suria.tv yang boleh ditonton menerusi laman sesawang rasmi Suria FM, www.suriafm.com.my khas buat tontonan pendengar setia mereka.

"Dia tidak banyak ragam, kecuali jika dia lapar dan hendak tidur," kata Erra mengenai tabiat puteri sulungnya itu.

Benar seperti yang dikatakan oleh ibunya, Engku Aleesya tidak banyak ragamnya. Si kecil bermata bundar ini memerhati dan bertindak balas dengan keadaan sekeliling.

Bagaikan sudah terbiasa dikerumuni dan diperhatikan khalayak, dia tidak sedikit pun menunjukkan aksi kurang senang tatkala 'diusik' oleh kedua-dua penyampai tersebut.

Biarpun baru mencecah usia empat bulan, seperti ibu dan ayahnya, Engku Aleesya turut mewarisi 'kemahsyuran' kedua-dua selebriti itu.

Kemana sahaja dia dibawa pasti puteri comel berkulit cerah itu menjadi perhatian ramai.

Malah sejak dalam kandungan lagi ramai yang begitu teruja menanti kelahirannya. Malah, sesudah dilahirkan bertambah ramai yang setia menunggu kesediaan Erra dan suami merelakan wajah anak sulungnya itu dirakamkan.


Dilahirkan seberat 4.04 kilogram (kg) di Hospital Pakar Damansara, Kuala Lumpur pada 30 Mac lalu, Engku Aleesya kini hampir mencecah berat 8 kg.

Bertuah menjadi Engku Aleesya. Biarpun telah direncanakan rancangan pendidikan sempurna oleh ibu dan ayahnya, dia juga pada masa yangsama sudah mengumpul ribuan malah mungkin jutaan peminat menerusi program Gugu Gaga Erra.

Menariknya, program tersebut merupakan antara program yang cukup mendapat perhatian ramai di saluran Ria (saluran 104, Astro) ketika ini.

Selepas muncul di kaca televisyen, Engku Aleesya muncul pula sebagai tetamu undangan di radio, apa lagi selepas ini?

Erra dalam Andartu Terlampau

Tidak sah sekiranya bertemu Erra jika tidak menyingkap perihal aktiviti seni terbarunya.

Jelas Erra, dia bakal muncul dalam filem Andartu Terlampau terbitan syarikat milik pelakon Haliza Misbun.

Selain Haliza, pelakon lain yang terlibat termasuklah Awie dan Abby Abadi.

Kalau sudah ratu filem, yang bermain di fikiran sudah tentu Erra bakal muncul sebagai salah seorang pelakon utama. Tambah menarik, mungkinkah filem ini bakal mengubati kerinduan peminat apabila bertemu semula dengan Awie di lokasi filem yang sama?.

Belum sempat memanjangkan pertanyaan, pantas jawapan yang diberikan Erra, dia hanya muncul seketika dalam filem tersebut dan memulakan pengambaran semalam.

"Dalam filem ini, watak saya sebagai Markonah, seorang andartu (anak dara tua) yang tidak bijak merencana penampilan diri," katanya.

Dalam sisi lain, jelas Erra, dia baru sahaja habis menjalani pengambaran drama bersiri Mertua vs Menantu dan sebuah telefilem yang bakal ditayangkan di Astro pada hari raya nanti.

"Walau sibuk berlakon dan menguruskan perihal rumah tangga, sempat juga saya ke lokasi filem," kata Erra lagi.

Sedar tidak sedar, siri realiti yang memaparkan bagaimana pelakon jelita itu meniti hari-hari bergelar ibu bakal melabuhkan tirainya esok (11 Ogos).

Biarpun mencatat rating yang cukup memberangsangkan, jika sudah namanya rancangan realiti sudah tentu tidak dapat lari daripada pelbagai tanggapan negatif.

Malah, baginya adegan 'drama' dalam sesebuah rancangan realiti itulah yang mencantikkan lagi jalan ceritanya.

Pelbagai babak 'pergaduhan' antara Erra dengan Pembantu Peribadi (PA), Nor Azira Zakaria, 22, yang mengurusnya sejak tiga bulan lalu dipaparkan dalam rancangan itu.

Mengulas perihal adegan pergaduhan, kata Erra, ia merupakan 'drama' yang dihasilkan bagi menambah perisa dan mensensasikan lagi rancangan tersebut.

"Di luar negara ia bagaikan sudah di anggap biasa, namun tidak kepada masyarakat kita yang lebih sensitif kepada perkara-perkara negatif.

"Memang akan ada pro dan kontranya, nak tak nak kenalah bersedia menerima. Setidak-tidaknya Gugu Gaga Erra ini dapat dijadikan panduan kepada rancangan realiti lain seumpamanya.

"Dari segi rating, Alhamdulillah berjaya dan saya rasa Astro sudah memperoleh apa yang mereka mahukan daripada penerbitan program itu," kata Erra yang mempunyai kontrak setahun lagi sebagai wajah eksklusif Astro.

Erra antara nama-nama besar yang disenaraikan sebagai wajah eksklusif Astro selain beberapa artis lain antaranya Aaaron Aziz, Farid Kamil dan Lisa Surihani.

Namun, penampilan Erra lebih menonjol berbanding pelakon lain menimbulkan spekulasi kurang enak pelbagai pihak bahawa kononnya Astro 'memerah' kudratnya atas tiket populariti pelakon dan penyanyi kesayangan ramai itu.

Menolak dakwaan itu, kata Erra: "Saya tidak rasa diri dipergunakan sebab saya mematuhi kontrak dan mereka (Astro) tidak melanggar perkara yang ada dalam kontrak.

"Orang boleh bercakap macam-macam. Tetapi bagi saya dalam hubungan kontrak perlu ada give and take (timbal balas), kalau tidak susahlah nak buat kerja," kata Erra sebelum mengakhiri perbualan.

-Utusan


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha