Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Saturday, August 29, 2009

H1N1: 365 positif, tiada kematian baru


KUALA LUMPUR 29 Ogos — Seramai 365 pesakit disahkan dijangkiti pandemik Influenza A(H1N1) dan tiada kematian baru didaftarkan hari ini menjadikan jumlah kematian kekal 71 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata daripada jumlah yang disahkan positif H1N1 itu, sebanyak 48 kes berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lapan kes adalah kemasukan baru sementara lapan lagi sudah dikeluarkan dari ICU.

Katanya daripada 48 kes yang berada di ICU, sebanyak 37 atau 77 peratus pesakit terdiri daripada mereka yang mempunyai faktor risiko termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik (7), obesiti (13), kanak-kanak dan bayi (6), selepas bersalin dan hamil (3), penyakit jantung (3), kegagalan ginjal (1) dan asma (4).

Dr Mohd Ismail berkata sehingga 9 pagi ini, sejumlah 442 pesakit baru dengan gejala “influenza-like-illness” (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan manakala 353 telah dibenarkan keluar hospital.

“Baki seramai 1,598 pesakit ILI sedang dirawat di 107 hospital termasuk empat hospital swasta di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa wabak H1N1 di negara ini hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 masih lagi aktif dan setakat hari ini, sebanyak 246,173 kes direkodkan dengan angka kematian mencecah 2,890 orang melibatkan 182 buah negara.

“Bagaimanapun, angka-angka yang ditunjukkan tidak menunjukkan gambaran situasi sebenar memandangkan WHO kini tidak lagi mewajibkan semua negara melaporkan bilangan kes,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti mengunjungi tempat-tempat tumpuan ramai bagi mengelakkan diri daripada terdedah kepada jangkitan dan saling mengingatkan individu yang tidak sihat dan mengalami gejala demam atau batuk supaya tidak berada di tempat awam.

Katanya jika perlu untuk mengunjungi tempat-tempat itu, mereka dinasihatkan supaya mengurangkan tempoh masa berada di kawasan berkenaan dan memakai penutup hidung dan mulut.

Dr Mohd Ismail juga meminta orang ramai supaya memberikan kerjasama secara berterusan bagi menangani penularan wabak itu.

— BERNAMA


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha