Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Sunday, July 05, 2009

Mesej pelihara alam


Oleh INTAN MAS AYU SHAHIMI
imas@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Sempena Kembara Mahkota Johor (KMJ) Jelajah Pedalaman 2009 bermula semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail, bersama anakanda dan pembesar negeri memulakan pengembaraan selama empat hari yang dijadualkan melalui 10 daerah di negeri ini dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD).

Pengembaraan yang disertai 150 pegawai kerajaan serta wakil media itu bukan sekadar untuk menjenguk, tetapi Tunku Ibrahim turut membawa mesej mengenai pemuliharaan alam sekitar dan mendekati masyarakat Orang Asli serta perkampungan tradisional.

Yang pasti, keberangkatan Tunku Ibrahim serta rombongan KMJ diiringi dengan doa rakyat yang tidak sabar-sabar menanti khabar gembira bagi setiap pemasalahan yang dihadapi penduduk negeri ini.

Ketika dilancarkan pada 2001, tahun pertama idea dicetuskan Tunku Ibrahim, beliau sanggup berpanas dan berhujan menunggang motosikalnya menyusuri perjalanan sejauh 870 kilometer selama tiga hari.

Setiap persinggahan rombongan bermotosikal itu merungkai pelbagai masalah rakyat yang tekun didengari Tunku Ibrahim sebelum jalan penyelesaian dirangka dan diatasi segera melalui pembabitan wakil jabatan kerajaan yang menyertai rombongan.

Sejak tahun pertama KMJ dilancarkan, perjalanan ribuan kilometer yang memenatkan putera Sultan Johor itu bagai hilang begitu saja apabila disambut meriah oleh rakyat jelata.

Sikap Tunku Ibrahim yang sudi berhenti di tepi jalan untuk bertemu rakyat yang berkumpul, biarpun lokasi sebenar hentian masih jauh, membuatkan rakyat terpesona dengan kemesraan Tunku Mahkota mereka.

Sambutan menggalakkan setiap kali Tunku Ibrahim tiba di destinasi membuktikan rakyat memberi sokongan penuh terhadap usaha beliau yang sudi meluangkan masa menjenguk mereka.

Malah, anggota rombongan yang turut membabitkan exco kerajaan negeri dan pengarah jabatan kerajaan membantu menyelesaikan segala masalah penduduk.

Petikkan Harian Metro


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha