Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Wednesday, July 15, 2009

Biarlah Mereka Meniru




Menerusi bancian dari AC Nielsen baru baru ini, Suria FM kini adalah stesen radio Melayu paling cepat mengalami perkembangan berbanding saingan terdekat lain iaitu sebanyak 31 peratus. Secara keseluruhan, stesen radio ini berada di kedudukan nombor 12 daripada lebih 30 stesen radio tempatan.

Jika hanya mengambil kira stesen radio Melayu sahaja, Suria FM kini berada di kedudukan keempat untuk stesen radio berbahasa Melayu. Ini satu pencapaian yang cukup membanggakan bagi sebuah stesen radio yang masih baru.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Suria FM Engku Emran Engku Zainal Abidin, walaupun gembira dengan pencapaian itu, tetapi beliau belum berpuas hati dan pihaknya sentiasa bekerja keras untuk mencapai cita-cita mereka bagi menjadikan Suria FM sebagai radio nombor satu di Malaysia. Sebab itulah, satu demi satu strategi baru dirancang bagi menarik minat lebih ramai pendengar.

Bagaimanapun, baru-baru ini stesen radio yang terkenal dengan tagline ‘Muzik Terbaik Tanpa Henti’ ini tersentak seketika apabila salah satu daripada konsepnya telah diciplak oleh sebuah stesen radio swasta yang lain. Konsep yang dimaksudkan ialah ‘40 Minit Muzik Terbaik Tanpa Henti’. Suria FM memperkenalkan program ini pada Januari lalu, manakala stesen radio ini dua minggu lalu.

Dalam satu majlis Suria FM baru-baru ini, Engku Emran telah diminta memberi komen tentang perkara tersebut dan menurut beliau, dia agak terkejut dengan perbuatan stesen radio popular itu memandangkan stesen radio itu sudah lama bertapak di dalam industri.

“Pada mulanya saya memang terkejut apabila mendapat tahu stesen radio itu meniru konsep yang kami sediakan. Mengapa mesti meniru sedangkan stesen radio itu lebih besar daripada Suria FM? Masih banyak cara atau idea yang boleh difikirkan untuk memikat pendengar mereka. Tetapi apabila difikir-fikirkan, biarlah mereka hendak meniru.

“Itu tandanya konsep yang kami ketengahkan ini mendapat sambutan baik, kalau tidak mana mungkin stesen radio nombor satu itu sanggup meniru. Sebagai jalan penyelesaian, kini kami telah pun menukar nama konsep itu ke ‘50 Minit Muzik Terbaik Tanpa Henti’ bermula 7 Julai lalu bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari,” jelas Engku Emran panjang lebar.

Dalam masa yang sama, Engku Emran juga diminta mengulas tentang cakap-cakap yang mengatakan Suria FM sukar memainkan lagu daripada artis-artis baru atau yang kurang popular. Malah, lebih teruk lagi ada yang mengatakan Suria FM mengenakan caj tertentu untuk membolehkan lagu itu dimainkan.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa perkara tersebut langsung tidak berlaku. Kami di Suria FM tidak mengamalkan polisi yang tidak bertanggungjawab itu. Kalau ada di antara anda yang mempunyai bukti atau pernah mengalami keadaan itu sendiri, tolong beritahu saya supaya saya boleh ambil tindakan terhadap kakitangan yang terlibat. Saya memang tidak mahu perkara sebegini berlaku dalam pengurusan,” ujar Engku Emran dalam nada tegas.


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha