Anda Pelawat Ke

AMARAN : DILARANG MENCARUT
Sebarang Komen/Idea Sila Isi Borang Dibawah.

Saturday, April 25, 2009

Konsert Radio Rosak


Radio Rosak gegar JB
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMATsuzana.rajahamat@kosmo.com.my
Sepanjang kolaborasi ini, setiap kafe akan memainkan lagu-lagu indie dari pukul 2 hingga 4 petang sebagai tanda sokongan terhadap muzik tempatan
– Shahrul
AUBURN (dari kiri), Stephnie Chan, Izuan Shah dan Izzat Uzaimi, antara yang bakal menghangatkan konsert Radio Rosak 2009 Untukmu Gaza.
EDRIE (dua dari kiri) dan Shahrul (dua dari kanan) diapit dua anggota Cili.
Tanpa muzik, radio sekadar kotak buruk, rosak dan tiada pendengar. Itu tandanya muzik dan radio, dua entiti yang tidak boleh diasingkan.
Apabila ia digelar Konsert Radio Rosak 2009 Untuk Gaza, timbul pertanyaan, kenapa nama sebegitu yang menjadi sandaran. Apa signifikan dan apa pula alasan yang boleh menjelaskan konotasi maksud istilah itu sendiri terhadap roh muzik konsert berkenaan.
Apakah ia simbolik kepada luahan dentingan keyboard, pukulan drum ataupun petikan gitar para karyawan muzik yang terlibat ketika lirik-lirik cinta mahupun kebebasan dilagukan penuh perasaan.
Pengarah Neogendang, Edrie Hashim selaku penganjur konsert menjelaskan, istilah itu paling tepat untuk mencetuskan aura konsert berkenaan, selari dengan jiwa anak-anak muda sebagai penggerak trend muzik indie yang sedang marak.
"Bunyi 'radio rosak' itu cool, sesuai dengan stail band-band indie sekarang. Lagipun ia kedengaran seperti satu 'pemberontakan', mungkin satu revolusi kepada suasana muzik itu sendiri.
"Generasi muda suka memberontak, rasanya konsep itu sesuai untuk menggambarkan suasana yang bakal disaksikan menerusi konsert itu nanti.
"Kalau letak nama 'konsert melati putih ke, tentu sangat tidak menggambarkan konsert band indie," kata Edrie menjelaskan konsep projek gergasi syarikat miliknya itu.
"Bukan hanya himpunan band-band indie, konsert yang bakal menjelajah ke-10 lokasi termasuk pembuka tirai di Johor Bahru, Sabtu nanti, benar-benar diharapkan Edrie sebagai satu gerakan revolusi, tanda kemarakkan band indie semakin berleluasa.
"Saya pilih band indie kerana mereka mewakili gerakan muzik ketika ini. Ia seolah-olah zaman Battle Of The Band, ketika kebangkitan dan fenomena rock awal tahun 80-an. Masa itulah, munculnya Search, Lefhanded, FTG, SYJ dan banyak lagi. Sampai ke hari ini, band-band masih dianggap band besar
"Jadi, muzik dan trend band indie perlukan sokongan. Sekarang ia nampak macam trend tapi dari situlah akan lahir band-band besar untuk 10 atau 20 tahun akan datang," ujar Edrie lagi.
Idea penganjuran Konsert Radio Rosak itu telah lama difikirkan tetapi apabila ada pihak yang sudi menaja dan bekerjasama, barulah dapat direalisasikan.
"Konsep pemasaran dan kolaborasi antara konsert ini dengan francais kafe jenama antarabangsa, Gloria Jean's Coffees ini sesuatu yang sangat baru. Saya yakin, kerjasama ini akan jadi ikutan kalau projek Konsert Radio Rosak 2009 menempa kejayaan.
"Kalau nak cerita tentang perancangan, konsert ini tidak akan terhenti setakat hujung tahun nanti. Kalau boleh ia akan jadi konsert tahunan.' jelasnya lagi.
Sebagai pembuka tirai, Konsert Radio Rosak 2009 bertempat di Stadium Bandaraya Johor Bahru (JB), Sabtu (25 April) nanti akan digegarkan 10 buah band indie termasuklah Bunkface, OAG, Estranged, Plaque Of Happines, Projek Pistol, Cili, The Rhaman, Auburn, Zip Ziller, Stereosakit, Secret Silent, Man In Blue.
Kecuali Bunkface dan Estranged, band indie lain yang terlibat dengan konsert berkenaan juga terlibat secara langsung dengan projek kompilasi album Radio Rosak terbitan Neogendang dan diedarkan secara eksklusif oleh Gloria Jean's Coffees.
Menurut Edrie, setiap lokasi konsert akan menampilkan band jemputan yang terdiri daripada band indie setempat.
Konsert di JB contohnya akan disertai kumpulan Plaque Of Happines yang merupakan band indie popular dan sedang mendapat tempat di kalangan generasi baru di sekitar Johor.
"Kita juga akan ada kejutan di setiap konsert. Akan ada kemunculan nama-nama besar tapi semua itu saya simpan sebagai bonus untuk penonton," kata Edrie yang ditemui bersama Pengarah Wonderful Lifestyle selaku pemilik rangkaian Gloria Jean's Coffees di Malaysia, Shahrul Azlan Mohd Zulkifli di Damansara, Isnin lalu.
Bagi Shahrul sendiri, ini kolaborasi pertama antara kafe jenama antarabangsa itu dengan produk melibatkan artis tempatan.
"Saya lihat projek ini satu daripada sasaran pemasaran kami. Hubungan kafe dengan muzik sudah lama berlangsung, bezanya kafe kopi tidak menjual arak atau alkohol. Sasaran kami adalah golongan muda dan golongan muda adalah peminat muzik, muzik band indie khususnya.
"Sepanjang kolaborasi ini, setiap kafe akan memainkan lagu-lagu indie dari pukul 2 hingga 4 petang sebagai tanda sokongan terhadap muzik tempatan, sebelum ini kami hanya memainkan lagu berentak jazz," jelas Shahrul.
Masih berkisarkan konsep konsert berkenaan, bagi memberikan peluang sama rata serta menjanjikan kepuasan kepada penonton dan setiap band, konsert yang bermula dari pukul 2 petang hingga 12 malam itu memperuntukan masa 45 minit kepada setiap band untuk beraksi.
Bagi vokalis kumpulan Cili, Vivine, tersenarai sebagai antara pemuzik konsert berkenaan satu penghargaan.
Katanya indie bukan genre yang mengkelaskan jenis muzik sebaliknya satu trend kebangkitan karyawan muzik yang tidak berpaksikan mana-mana syarikat rakaman.
"Bezanya, kami (Cili) adalah artis Neogendang tapi muzik kami tiada bezanya dengan muzik band indie kerana Neogendang juga sebuah syarikat yang berdiri sendiri atas usaha Edrie.
"Untuk konsert di JB nanti, kami akan bawakan sembilan atau 10 buah lagu antaranya dipetik daripada album pertama kami, Bersama Cinta serta dua buah lagu baru, Sampai Masa dan Mimpi yang terisi dalam album kompilasi Radio Rosak," jelas Vivine ketika ditemui di Damansara, baru-baru ini.


0 comments:

Post a Comment



Blog Widget by LinkWithin
 

Nashfm Entertainment - Dunia Muzik Anda™ Copyright © 2009 - 2010 LKart Theme is Designed by Lasantha